Galeri Tan Sri Abdul Aziz

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia

Election Commission Of Malaysia


SEJARAH PILIHAN RAYA UMUM SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR)

         

         

         

1. Pilihan Raya Umum Pertama (1959)

         

Pilihan raya umum pertama tahun 1959 merupakan pilihan raya yang julung-julung kalinya dikendalikan oleh SPR selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. 104 kerusi Dewan Rakyat dan 282 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dipertandingkan. SPR telah menetapkan hari penamaan calon yang berbeza untuk pilihan raya kerusi Dewan Rakyat dan pilihan raya kerusi DUN. 15 Julai 1959 ditetapkan untuk penamaan calon bagi kerusi Dewan Rakyat manakala calon untuk kerusi DUN bermula dari 15 April sehingga 20 Mei 1959. Tempoh berkempen bagi kerusi Dewan Rakyat dan kerusi DUN telah ditetapkan selama 35 hari. SPR telah menetapkan hari mengundi untuk kerusi Dewan Rakyat diadakan satu hari sahaja iaitu pada 19 Ogos 1959 manakala hari mengundi untuk kerusi DUN dibuat secara berperingkat dari satu negeri ke satu negeri bermula dari 20 Mei di Kedah dan Perlis dan berakhir di negeri Pahang pada 27 Jun 1959.

         

         

         

2. Pilihan Raya Umum Ke-2 (1964)

         

Pada 1 Mac 1964, Dewan Rakyat pertama telah dibubarkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-2. Sebanyak 104 kerusi Dewan Rakyat dan 282 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dipertandingkan. Sabah, Serawak dan Singapura belum lagi terlibat di dalam Pilihan Raya Umum Ke-2 ini. Buat pertama kalinya, SPR menetapkan hari penamaan calon bagi kedua-dua kerusi Dewan Rakyat dan DUN dibuat secara serentak pada 21 Mac 1964. SPR juga menetapkan hari mengundi yang serentak, iaitu pada 25 April 1964 dengan tempoh masa berkempen selama 34 hari.

         

         

         

3. Pilihan Raya Umum Ke-3 (1969)

         

Dewan Rakyat ke-2 telah dibubarkan pada 20 Mac 1969. Buat pertama kalinya pilihan raya umum kerusi Dewan Rakyat diadakan secara serentak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 ini, bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan telah meningkat daripada 104 kepada 144 dengan mengambil kira 16 kerusi Dewan Rakyat di Sabah dan 24 kerusi Dewan Rakyat di Sarawak. Peningkatan juga berlaku bagi kerusi DUN dari 282 kepada 330 dengan mengambil kira 48 kerusi DUN untuk Sarawak. Walau bagaimanapun, DUN Sabah tidak terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 ini. Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 April 1969 bagi kedua-dua kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Pilihan raya ini juga meyaksikan pendekatan pengundian secara berperingkat yang pernah dilakukan dalam pilihan raya umum yang pertama. Hari mengundi di Semenanjung telah ditetapkan pada 10 Mei 1969 dengan tempoh berkempen selama 35 hari. Bagi negeri Sabah, tarikh pengundian berperingkat telah ditetapkan pada 10 sehingga 25 Mei 1969 dan tarikh pengundian berperingkat di Sarawak bermula dari 10 Mei sehingga 7 Jun 1969.

         

         

         

         

4. Pilihan Raya Umum Ke-4 (1974)

         

Pada 31 Julai 1974, Dewan Rakyat Ke-3 telah dibubarkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-4. Hari penamaan calon ditetapkan pada 8 Ogos 1974 bagi kerusi Dewan Rakyat dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tarikh pengundian yang berbeza untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak masih dikekalkan. Tarikh pengundian di Semenanjung telah ditetapkan pada 24 Ogos 1974 dengan tempoh berkempen selama 16 hari. Bagi negeri Sabah pula, pengundian secara berperingkat ditetapkan pada 24 Ogos sehingga 7 September 1974 manakala bagi negeri Sarawak, pengundian berperingkat ditetapkan pada 24 Ogos sehingga 14 Seprember 1974. kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan telah meningkat daripada jumlah 144 kepada 154. Bilangan kerusi DUN juga meningkat daripada 330 kepada 360. Peningkatan bilangan kerusi ini adalah hasil urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya tahun 1974 yang berkuatkuasa mulai 24 Julai 1974.

         

         

         

5. Pilihan Raya Umum Ke-5 (1978)

         

Dewan Rakyat ke-4 telah dibubarkan pada 12 Jun 1978, pembubaran ini memberikan laluan kepada SPR untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-5. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 21 Jun 1978 dan tarikh mengundi pada 8 Julai 1978 dengan tempoh masa berkempen telah dipendekkan selama 18 hari untuk seluruh nagara. Kesemua 154 kerusi Dewan Rakyat dipertandingkan di dalam pilihan raya ini. DUN di 3 buah negeri iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini.     

         

         

         

6. Pilihan Raya Umum Ke-6 (1982)

         

Dewan Rakyat ke-5 telah dibubarkan pada 29 Mac 1982. SPR telah menetapkan hari penamaan calon yang sama untuk kerusi Dewan Rakyat dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara iaitu pada 7 April 1982. Hari pengundian di Semenanjung ditetapkan pada 22 April 1982. Pengundian berperingkat bagi negeri Sabah dan Sarawak bermula dari 22 sehingga 26 April 1982. Tempoh pengundian berperingkat di Sabah dan Sarawak ini lebih pendek daripada pilihan raya terdahulu kerana peningkatan kemudahan perhubungan dan pengangkutan di Sabah dan Sarawak. Tempoh berkempen untuk seluruh negara telah diseragamkan kepada 15 hari sahaja. Sebanyak 154 kerusi Dewan Rakyat telah dipertandingkan di dalam Pilihan Raya Umum ke-6 ini. Bilangan kerusi DUN yang dipertandingkan telah meningkat kepada 312 kerusi apabila DUN Kelantan turut menyertai pilihan raya pada kali ini. DUN Sabah dan Sarawak masih lagi kekal tidak terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-6 ini.

         

         

         

         

         

         

         

         

         

7. Pilihan Raya Umum Ke-7 (1986)

         

 Pada 19 Julai 1986, Dewan Rakyat telah dibubarkan dengan mengejut. Susulan daripada itu, SPR telah menetapkan hari penamaan calon serentak bagi seluruh negara iaitu pada 24 Julai 1986. Hari pengundian di Semenanjung ditetapkan pada 3 Ogos 1986 dengan tempoh masa berkempen yang paling pendek dalam sejarah  pilihan raya diadakan di Negara ini pada ketika itu, iaitu 9 hari. Pengundian di Sabah dan Sarawak diawalkan sehari sebelum hari pengundian di Semenanjung dan tempoh masa pengundian berperingkat telah dipendekkan kepada 2 hari sahaja iaitu pada 3 dan 3 Ogos 1986. Di dalam Pilihan Raya Umum Ke-7 ini berlaku peningkatan bilangan kerusi Dewan Rakyat kepada 177 dan kerusi DUN kepada 351 yang dipertandingkan. Ini kerana urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di seluruh negara kecuali Sarawak. Namun, 48 kerusi DUN di Sarawak dan 48 kerusi DUN di Sabah tidak terlibat dalam pilihan raya umum kali ini.

         

         

         

8. Pilihan Raya Umum Ke-8 (1990)

         

Pada 4 Oktober 1990 merupakan tarikh bersejarah apabila Dewan Rakyat ke-7 telah dibubarkan. SPR telah menetapkan hari penamaan calon untuk seluruh negara iaitu pada 11 Oktober 1990. Hari pengundian bagi Semenanjung telah ditetapkan pada 21 Oktober 1990 dengan tempoh berkempen selama 10 hari sahaja. Hari pengundian dimulakan awal sehari di Sabah dan Sarawak terus dikekalkan di dalam pilihan raya umum kelapan ini apabila tarikh ditetapkan pada 20 dan 21 Oktober 1990. Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan di dalam pilihan raya umum kelapan ini, telah bertambah kepada 180 berikutan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di negeri Sarawak. Sebanyak 351 kerusi DUN di Semenanjung dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini. 96 kerusi DUN, iaitu 48 di Sabah dan 48 di Sarawak tidak terlibat di dalam pilihan raya umum pada kali ini.

         

         

         

9. Pilihan Raya Umum Ke-9 (1995)

         

Setelah Dewan Rakyat ke-8 dibubarkan pada 6 April 1995, SPR telah menetapkan hari penamaan calon yang seragam untuk seluruh negara pada 15 April 1995. Hari mengundi di Semenanjung ditetapkan pada 25 April 1995 dengan tempoh berkempen selama 10 hari sahaja. Bagi Sabah dan Sarawak pula, hari pengundian iailah pada 24 dan 25 April 1995. Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-9 telah meningkat kepada 192 kerusi berikutan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang diadakan di Semenanjung dan Sabah pada tahun 1994. Bilangan kerusi DUN yang dipertandingkan di Semenanjung telah meningkat kepada 394 kerusi. DUN Sabah dan Sarawak terus kekal tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini.

         

         

         

         

         

         

         

         

         

10. Pilihan Raya Umum Ke-10 (1999)

         

Dewan Rakyat ke-9 telah dibubarkan lebih awal daripada tarikh jangka hayatnya pada 10 November 1999. SPR telah menetapkan hari penamaan calon untuk seluruh negara iaitu pada 20 November 1999. Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya, iaitu hari mengundi untuk kerusi Dewan Rakyat telah ditetapkan satu hari sahaja untuk seluruh negara iaitu pada 29 November 1999. Tempoh berkempen ditetapkan selama sembilan hari sahaja. Pilihan Raya Umum Ke-10 ini juga hanya melibatkan DUN-DUN di Semenanjung. DUN di Sabah dan Sarawak masih kekal tidak terlibat dalam pilihan raya umum kali ini. Kerusi Parlimen yang dipertandingkan telah meningkat kepada 193 iaitu pertambahan satu kerusi di Sarawak berikutan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri Sarawak.

         

         

         

11. Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004)

         

Dewan Rakyat ke-10 telah dibubarkan 4 Mac 2004. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 13 Mac 2004 dan hari mengundi pada 21 Mac 2004 untuk seluruh negara dengan tempoh berkempen selama lapan hari sahaja. Satu perubahan ketara yang berlaku adalah buat pertama kalinya DUN Sabah menyertai pilihan raya umum bersama dengan DUN-DUN di Semenanjung. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini. Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan telah meningkat kepada 219 manakala kerusi DUN telah meningkat kepada 505. peningkatan bilangan kerusi ini berlaku berikutan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di seluruh negara kecuali Sarawak yang diadakan pada tahun 2003.  

         

         

         

12. Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008)

         

Dewan Rakyat telah dibubarkan pada 13 Februari 2008 dan diikuti oleh Dewan Undangan Negeri di seluruh negara bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan. SPR telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 24 Februari 2008 dan hari pengundian pada 8 Mac 2008 dengan tempoh berkempen selama 14 hari sahaja. Bilangan kerusi Dewan Rakyat untuk dipertandingkan telah meningkat daripada 219 kepada 222 manakala kerusi DUN kekal sebanyak 505. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.